Jauhi Penyakit Hati

Assalamualaikum para pembaca,


Masalah takabur,u'jub,riya' dan sombong saling berkait antara satu sama lain,dan ini adalah tergolong dalam penyakit-penyakit hati yang sangat berbahaya dan penyakit ini dikatakan bermula dari Iblis laknatullahi alaih yang sombong dengan penciptaannya dari api dan enggan sujud kepada si Adam yang dicipta oleh Allah dari tanah.Maka tercetuslah buat kali pertamanya dosa dan penyakit hati yang pertama yang dicetus oleh sang Iblis.

Maka ulama mutaakhirin banyak menekankan supaya berhati-hati dengan penyakit hati yang kritikal pada umat akhir zaman ini.Banyak dalam kalangan kita mutakhir ini,mempunyai penyakit-penyakit hati yang kronik ini tanpa disedari,terutama sekali dalam golongan pelajar sangatlah ditakuti akan penyakit ini kerana membuatkan segala amalan akan menjadi sia-sia terhadap Allah SWT.Maka hanya dengan tunjuk ajar guru atau mursyid yang mampu kita untuk mengharungi dalam mujahadah dan riyadhah untuk melawan penyakit hati ini yang didorong oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan.Apabila penyakit hati dapat dikurang secara istiqamah maka ibadah dapat dilakukan dengan ikhlas dan tenang tanpa menimbulkan satu perasaan bangga dengan ibadah dibuat,ketika itu seseorang dapat merasakan kemanisan setelah bermujahadah yang panjang untuk mentarbiyah hati supaya ikhlas kepada Sang Khaliq.

Kadangkala kita selalu perasan kita ini berilmu tetapi hakikatnya kita hanyala kerdil.Ambil ilmu pun cekup sana sini sahaja tapi berlagak seperti ulama.Sedangkan ulama itu semakin tinggi ilmunya semakin tawadhuk dan sangat menjaga akhlaknya dalam belajar dan bergaul.

Salah satu ilmu atau cara untuk kita mengelak dari penyakit hati ini yang telah disarankan oleh Abu Hamid Al-Ghazali.Imam al-Ghazali ada mencatatkan lima cara untuk mengikis sikap takbur dalam diri seseorang iaitu dengan cara: 


  1. Apabila kita bersuara dengan anak-anak kecil, maka kita anggaplah yang sebenarnya dia lebih bersih dan mulia daripada kita kerana mereka masih belum mempunyai dosa-dosa berbanding dari kita yang telah dewasa.
  2. Apabila kita bersuara dengan orang tua pula, maka kita anggaplah yang sebenarnya doanya lebih mulia daripada kita kerana dia lebih lama beramal ibadah kepada Allah dari kita.
  3. Apabila kita bersuara dengan orang alim pula, maka kita anggaplah yang sebenarnya beliau lebih mulia daripada kita kerana insan sebegini memiliki lebih banyak ilmu yang beliau ketahui tetapi kita belum mengetahuinya. 
  4. Apabila kita bersuara dengan orang jahil pula, maka kita anggaplah yang sebenarnya dia lebih mulia dari kita kerana dia melakukan dosa disebabkan kejahilannya, sedangkan kita berdosa akan tetapi memiliki ilmu pula dengan sengaja kita melakukannya walaupun hakikatnya kita tahu yang mana satu perkara buruk dan baik. 
  5. Apabila kita bersuara dengan orang kafir pula, katakanlah dalam hati bahawa suatu hari nanti mungkin dia akan insaf dan akan memeluk islam. Maka semua dosa yang dilakukan sebelum dia masuk Islam akan diampunkan oleh Allah s.w.t. Sedangkan kita pula sebagai umat islam sejak lahir terus -menerus melakukan dosa tanpa mengenal balasan Allah yang bakal tiba kelak. 
Ilmu yang kita ada hanyalah kurniaan dari Allah dan janganlah kita sombong dengan apa yang kita ada kerana semua itu milik mutlak Sang Rabbul A'lamin.

..Dan yang sebenarnya telah banyak manakah dosa dan pahala yang tidak mampu kita pastikan..? 
Dari itu segeralah kita kembali kepadaNYA semoga amalan kebaikan kita didunia ini akan dibalas kegembiraan diakhirat kelak. 




WAALLAHU'ALAM

0 comments: