ILMU itu CAHAYA

memasuki ke dalam hati yang BERCAHAYA

ILMU itu CAHAYA

memasuki ke dalam hati yang BERCAHAYA

Adab PELITA Ilmu

ADAB membawa KEBERKATAN kepada ILMU

Semaikan Benih Kebaikan

Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman

Motivasi hidup Akhir Zaman.

Posted by Unknown
Assalamualaikum, alhamdulillah tummalhamdulillah. bersyukur dapat lagi meng'update' blog yang jarang dibuka ini. Di sini al-faqir tidak mahu bercerita panjang cuma ingin berkongsi beberapa perkara sahaja. Mudah-mudahan memberi manfaat kepada al-faqir terutamanya.

Dewasa ini, kita dapat lihat perubahan demi perubahan oleh manusia. Dari kejahilan keluar menuju pintu yang bercahaya. Al-faqir teringat lagi kalam guru al-faqir ustaz Hosnee al-Azhari, beliau menyatakan pada asalnya manusia dilahirkan dengan penampakan satu pintu bercahaya di hadapannya yang terbuka luas untuk dimasuki, tetapi sepanjang perjalanan menuju pintu tersebut, seseorang itu akan melalui pelbagai pintu yang terbuka luas dengan di dalamnya penuh dengan kegelapan dan zulumat. Maka, pintu yang pertama bercahaya itu dilupakan bagi mereka yang lupa, lalai dan leka dengan asal tujuan utama sebuah kelahiran, maka mereka-mereka itu akan tersungkur dan terjunam ke dalam pintu yang membawa kepada kebinasaan dan kehancuran serta fitnah. hanya manusia yang sedar dan tersedar akan niat utama sebuah kelahiran maka mereka terselamat dari pintu-pintu fitnah dan kebinasaan itu. Maka berbahagialah mereka yang memasuki ke dalam pintu yang bercahaya-cahaya itu.

Biarpun kita tersesat, apabila ada signboard yang menunjukkan ke arah jalan yang benar, berpatah balik itu lebih baik daripada terus mengikut jalan yang tidak diketahui dan terus dalam kesesatan.

Para pendakwah hari ini, sepatutnya memberikan satu khabaran gembira kepada mereka-mereka yang cuba berubah menjadi seorang yang baik dan cuba mentaati perintah Allah. Ya, memang benar mereka masih banyak kekurangan dalam perubahan, ketahuilah jika kita menunngu kesempurnaan dalam perubahan itu bukan lagi perubahan tetapi lakonan. Perubahan memerlukan masa untuk di 'islah'kan, dalam meng'islah' kita juga wajib meng'islah' diri yang banyak cacat celanya (terutama al-faqir yang terlalu banyak cacat celanya,semoga Allah memberi hidayah dan taufiq untuk al-faqir).

Di akhir zaman ini umat memerlukan motivasi yang memberi mereka harapan bukan menakut-nakutkan seolah-olah tiada harapan bagi mereka untuk berubah walaupun telah banyak dosa dilakukan, terlupakah kita akan sebuah cerita yang masyhur mengenai pembunuh yang membunuh 99 orang dan ingin bertaubat ?, jika terlupa mohon cari dan baca kembali jika tidak tahu cuba ambil tahu, al-faqir mohon maaf tidak dapat menyelitkan kisah tersebut kerana bagi al-faqir berusaha dan mencari akan lebih efektif dan lebih diingati.

Kembali kepada perbincangan tadi. bukankah agama yang diutuskan ini membawa seribu harapan kepada mereka yang berharap(raja'). Ya, islam memberi senantiasa memberi harapan kepada penganutnya. Ketahuilah, sang Rabb itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bukankah itu yang selalu kita lafazkan 'basmallah'. Ada ketikanya kita perlu menggunakan targhib(menggalakan/motivasi) wa tarhib(peringatan/ancaman) dalam dakwah kita.
Berselawatlah ke atas baginda nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wassalam setiap hari dengan sebanyak yang mungkin, hal ini kerana selawat adalah wasilah bagi mereka yang tidak bermursyid. Dengan melalui Rasulullah sahaja kita akan damai dengan Sang Pencipta kita.


MOTIVASI HIDUP AKHIR ZAMAN

Antara kalam yang memotivasikan diri untuk hidup dalam dunia dan organisasi didalamnya ialah nasihat Sayyidi Ahmad Zarruq rahimahullah.

Kata Sayyidi Imam,

"Dizaman ini sudah tidak ada murabbi yang sempurna. Yang ada hanyalah antara dua (sama ada mentarbiyah dengan Sirr-nya atau Sair-nya). Begitu juga sahabat yang dapat membantumu dalam perjalanan.Ianya A'dham min Ma'dhum (lebih tiada dari tiada). Yang ada hanyalah mereka yang dipenuhi kekurangan. Inilah yang kami saksikan dizaman ini (iaitu dizaman Imam Zarruq)." ~I'anaa al Mutawajjih al Miskin ila Tariq Fath wa Tamkin

Sidi Sheikh Hamza Yusuf hafizahullah memberi komentar,

"Apa yang ingin disampaikan oleh Imam Zarruq ialah TERIMALAH SEADANYA apa yang ada disekeliling kita yang dapat membantu kita. Paling tidak ada kebaikan2 yang kita dapat walaupun dalam ketidak sempurnaan mereka."

Bila teringat kalam ini, barulah hati jadi tenang. Jiwa jadi lapang.


Sekian. Allahua'lam bissowab

Al- faqir ilallah al-Ghaniy
Shah Al-Qadiri Al-Malakawi
1.08 AM
Isnin 18/8/2014

more »

Perjalanan Menuju Redha Allah (catatan ringkas)

Posted by Unknown
Assalamualaikum, sedikit catatan ringkas yang dapat dari kuliah Syeikh Dr. Prof. Ahmad Dabbagh, berketurunan dari seorang tabi'in besar yakni Hasan Al-Basri. Syeikh juga seorang pemegang Ph.D dari England atau lebih spesifik di Manchester. Syeikh Seorang yang sangat alim dalam akidah dan fiqh serta pemegang sanad ijazah keenam-enam kitab hadis, serta pakar dalam at-tazkiyah an-nafs, atau pembersihan jiwa dan santapan rohani. Beliau banyak berdakwah di rantau eropah dan telah banyak membuka zawiyah di sana. Itulah sedikit sebanyak mengenai syeikh Ahmad dabbagh ini, melihat wajah beliau yang sangat tenang.


Syeikh Prof. Dr.  Ahmad Dabbagh kanan sekali

Secebis kata-kata yang bermakna:

Ramai yang mendekatkan diri kepada Allah kerana menginginkan ketenangan dan ketenteraman jiwa, berjaga-jagalah bahawa kita bukan hamba kepada keinginan dan perasaan semata, tetapi kita hamba Allah selamanya. Adapun ketenangan dan ketenteraman jiwa yang dirasai, itu hanyalah cebisan daripada nikmat-nikmat dalam menuju redha Allah.

Jika kita mempunya masa-masa yang tertentu seperti masa makan, masa main, masa tidur masa kerja, masa belajar dan sebagainya, tetapi dimana letaknya empunya atau tuan kepada pemilik masa tersebut, yakni masa bersama Allah. Jika solat itu adalah waktu kewajipan kita dan sudah termaktub tetapi ini masa kita bersendiri dengan Alalh, bermuraqabah dengan Allah Azza wa Jalla. [Bermuhasabah diri]  

Sebenarnya kita sedang membina atau menghasil sebuh filem tentang kehidupan kita. Produser atau penerbitnya ialah Allah. Dan kita adalah pengarang dan pengarah skrip atau jalan cerita kita dalam menuju ke penamat cerita kehidupan kita ini. Kemuncak filem kehidupan kita ini adalah syurga.

Perbanyakkanlah mengingati mati, kerana dengan mengingatinya akan mematikan segala kelazatan dunia yang telah menenggelami hati sanubari. Para ulama dahulu sering memakai serban-serban yang besar disebabkan kain serbannya yang terlalu besar dan panjang. Itu sebenarnya adalah kain kafan mereka, mereka memakai kemana sahaja untuk mematikan segala tentang dunia jika timbul di hati mereka. Sekarang ramai diantara kita tidak bersedia lagi dengan kematian, jika kita bersedia sudah pasti kita sudah memiliki kain kafan sendiri dirumah tidak perlu untuk menunggu lagi jika mati baru hendak dibeli. 


Sultan muhammad al-fatih dan serbannya

imam al-Ghazali dan serbannya



Rasulullah menaiki buraq dalam perjalanan isra' dan mi'raj, kita juga mempunyai buraq tersendiri, apakah buraq kita itu, bukan secara material tetapi ianya aqidah (ahl as-sunnah wal jamaah), fiqh (syariat), taubat dan mujahadah, disertai dengan istiqamah dan pandangan khauf dan raja'.

banyak lagi perihal tazkiyah an-nufus yang dibicarakan oleh syeikh tetapi perihal tersebut tidak boleh diselitkan di dalam post kali ini kerana terlalu sulit untuk difahami tanpa telunjuk dan tunjuk ajar dari seorang guru yang mursyid dan wara' yang benar-benar ingin membawa kita menuju redha Allah dan mengenal diri kita dan asal tujuan hidup di dunia. Ini sajalah yang mampu dinukilkan, syeikh juga mengijazahkan tariqah muhammadiyah dan mentalqinkan kalimah لا اله الا الله kepada semua hadirin, dan jadikan ianya amalan diri untuk bermuraqabah kepada Allah.

Sekian Allahua'lam.

Hamba yang sentiasa faqir dan khadim ilmu
Shah Al-Qadiri
1.02 A.m.
4/6/2014
7 Sya'ban 1435H
Baiti Jannati
more »

Risalah Untuk Syabab

Posted by Unknown
Assalamu'alaikum kepada pengunjung blog, alhamdulillah thummalhamdulillah, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wassalam serta ahli keluarganya dan sahabatnya. Rentetan dari penulisan sebelum ini, al-faqir dengan rasa rendah untuk menyunting sedikit artikel dari sahabat al-faqir untuk dikongsikan bersama, mudah-mudahan medapat manfaat sedikit sebanyak dari penulisan beliau. Semoga hasil yang kecil ini dapat membantu para syabab di luar cuba memahami konsep para ulama' terdahulu dalam menangani setiap permasalahan ummah terutamanya, dan bagaimana untuk berinteraksi dengan Al-Quran dan as-sunnah sebagai panduan hidup umat akhir zaman dengan sebaiknya.
Melalui mengenali diri terus menghubungkan generasi pemuda dengan para ulama' yang haq dan memahami  konsep fatwa.
Kalam as-syahid Syeikh Ahmad Yassin, pemikir dan ulama besar palestin yang di bom oleh Yahudi laknatullah

 Risalah Syabab ini dipostkan kerana syabab(remaja) dikenali dengan seorang bersemangat yang waja,jiwa yang membara dan menginginkan sesuatu perubahan itu dengan drastik. Kita perlu tahu bahawa perkara segera ini akan meninggalkan kesan yang besar pada masa akan datang. Cukuplah dengan melihat makanan segera sebagai contoh, sedap yang sekejap tetapi kesan akan datang mendatangkan penyakit. Mungkin kiasan ini seperti tiada kaitan dengan persoalan di atas, tetapi itu sahaja mampu untuk al-faqir memberi contoh bahawasanya perkara segera menyebabkan kesan besar yakni buruk pada masa akan datang. Justeru itu, marilah kita memahami konsep dan mekanisme yang perlu dihadamkan.

Kenali Kekurangan Diri 

Syabab lazimnya mempunyai tenaga kekuatan dan semangat yang membara.

Namun walaupun hamasah(semangat) dan emosi mereka berpaksikan dengan cintakan Islam, tetapi semangat dan perasaan mereka tidak selalunya bertepatan dengan ajaran Islam dalam percakapan dan kelakuan mereka.

Ini kerana terdapat 3 jenis kekurangan pada syabab:

1) Kurang dari segi ilmu dan kefahaman yang sahih.
2) Kurang pengetahuan tentang waqi' dan realiti semasa.
3) Kurang pengetahuan tentang ma'alat (hasil, kesan, akibat dan kesudahan apa yang akan berlaku )

Para sahabat Nabi
dikalangan al-Ansar ketika berbai'ah 'aqabah, mereka berkata kepada Rasulullah , "Kita pergi kepada mereka dengan pedang-pedang kami saja.." 

Tetapi Nabi
pembawa rahmat seluruh alam, menghalang mereka bebuat demikian. Ya, mereka mempunyai semangat dan iman, tetapi mereka tidak mengetahui ma'alat(kesan) yang akan berlaku.. 
Begitu juga ketika perjanjian hudaibiyah diantara muslims dan non-muslims, ramai para sahabat diantaranya sayyiduna Umar r.a yang berasa berat untuk menerima perjanjian tersebut, tetapi Nabi
tidak goyah dan ragu-ragu dalam membuat keputusannya. Ini kerana Rasulullah tahu akan ma'alat (kesan mendatang) serta maslahah yang akan terjamin. Krisis dan kekurangan yang berlaku pada pemuda ummat ini perlu kepada solusi dan perawatan, iaitu dengan mendidik mereka, mengadakan majlis-majlis ilmu dan kursus-kursus yang tersusun.. 

Ya, kita perlu memautkan serta menghubungkan syabab dengan ulama!

Mengapa?
Dari kiri : As-syahid allamah Syeikh Ramadan al-bouti, Habib Umar benhafidz, Syeikh Dr. Ali Gomaah, Syeikh al-usulli allamah Abdullah bin Bayyah hafizohumullah

Pemuda Perlukan Ulama
Sekiranya kita katakan, syari'ah itu semuanya maslahah, semuanya rahmah dan semuanya adil, para pemuda mungkin belum faham ataupun salah faham tentang perkara ini.Mungkin dari sudut pandangan mereka ianya adil tetapi realitinya ianya satu yang zalim, mungkin bagi mereka ianya maslahah(membawa kebaikan) tetapi hakikatnya ianya adalah mafsadah(membawa keburukan)..

Mereka perlu memahami bagaimanakah sebenarnya maslahah itu, bagaimana akan tercapainya keadilan dan rahmah.

Sebab itu mereka perlukan para ulama.

Para pemuda perlu diberitahu dan dipupuk agar meyakini bahawa disana ada manhajiah(metodologi), dimana ilmu tidak boleh turun ke dada mereka tanpa belajar dengan para ulama, dan seseorang itu tidak mungkin akan segera menjadi alim.

Kerana disana ada manhaj-manhaj yang perlu mereka lalui, dimana ulama-ulama dahulu telah menghabiskan umur mereka dengan sangat lama untuk mendapatkan manhaj-manhaj ini agar mereka tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan kitab dan sunnah..

Imam ibnu qosim (w: 191H) salah seorang murid imam malik yang telah berguru dengannya selama 20 tahun, ketika mana dia cuba berfatwa, Imam Malik segera melarangnya..(kerana masih belum menguasai manhaj untuk berfatwa)

Tetapi Imam as-Syafiie yang walau tidak lama berguru dengan Imam Malik, ketika Imam Malik melihat kebolehannya dan cara beliau berinteraksi dengan dalil, Imam Malik memberikannya keizinan untuk beliau berfatwa walaupun beliau masih sangat muda(kerana dia telah menguasai ilmu dan manhajnya hingga sampai kepada martabat untuk berfatwa)

Ianya menunjukkan, ilmu itu terhasil setelah mendapatkan penguasaan dan manhajnya.

~Wahai para pemuda, bertaqwalah kepada Allah!

Dan ketahuilah, taqwa kepada Allah menuntut kalian untuk mengetahui dan menuntut ilmu dahulu, tidak boleh untuk kalian melakukan sesuatu perbuatan kecuali setelah kalian mengetahui hukum Allah.

Sebelum mula berjuang demi agama, para pemuda perlu meneliti dan melihat kesan dan hasil yang akan berlaku, beristikharah kepada Allah dan bertanyakan orang ramai, apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu?

Seseorang yang ingin menuju akhirat memerlukan kepada alat dan bekalan..

Ianya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk dia belajar bagaimana untuk menuju akhirat..

Tetapi jika dia tidak mempelajarinya, maka dia akan membahayakan dan membawa risiko yang buruk pada dunia dan akhiratnya.

Dan untuk menuju ke akhirat juga, seseorang itu tidak akan dapat berpergian tanpa pembimbing dan penunjuk jalan.

Ulama itulah pembimbing dan penunjuk jalan kita..

Namun persoalannya, siapakah ulama itu? Bagaimana untuk kita nilai mana ulama yang hak, dan mana yang sebaliknya, adakah ulama rakyat? ulama kerajaan? atau siapa?

Ulama Yang Hak Dan Batil 

Sebelum ini, kita telah tahu peri pentingnya para syabab ditarbiyah untuk sentiasa bersama dan berhubung dengan ulama.

Siapakah seorang yang alim?

Seorang yang alim itu kata Syaikh Ben Bayyah secara ringkasnya bererti seseorang yang mengetahui dan ahli dalam ilmu, dan takrif yang lebih bagus adalah seorang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya. Dialah seorang alim yang soleh, dimana ilmu dan amal itu menjadi dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. 

Dan ilmu itu pula adalah keadaan dan hal yang menjadi ciri-ciri, peribadi dan sifat seorang alim. Kata Imam Malik r.a: "Ilmu itu cahaya yang dikurniakan Allah di hati hamba-hambanya".

Tiada beza sama ada ulama itu ulama kerajaan atau ulama rakyat, ulama hak atau batil, melainkan dengan kebenaran hujjah dan dalilnya, siapa yang berikan burhan ilmiah dan hujjah yang benar, maka dialah yang benar. Sesiapa yang tidak memberikan burhan ilmiah dan hujjah yang benar, maka dia bukanlah yang benar walaupun dia ulama rakyat, kerana yang diiktibar dan dinilai adalah hujjah dan ilmu yang benar.

[Nota tambahan] Kebenaran dan keadilan bukan ikut selera kita, tetapi kita yang perlu ikut prinsip kebenaran dan keadilan. Sekarang ini seolah-olah sesuatu itu benar dan adil kerana ia datang daripada kelompok kita sedangkan apabila kelompok lain yang berkata maka ia menjadi tidak benar dan tidak adil. . (Khalif Muammar, 2014)

Syabab sering terpedaya dengan media atau orang-orang yang terkenal dan hebat luarannya dalam menilai kebenaran dan menghukum seseorang ulama atau isu tertentu, sedangkan kebenaran itu perlu dicari lebih terperinci lagi.

Sebelum syabab mengikuti seseorang dan mengambil pendapatnya, carilah kebenaran dahulu. Tuntutlah ilmu dengan ahlinya dahulu.

Seorang Penyair Menyebut:

ما أنت أول سارٍ غره قمـر :::::::: ورائدٍ أعجبته خضرة الدِّمــن
فاختر لنفسك غيري إنني رجل:::::::: مثل المعيدي فاسمع بي ولا ترني


Pengajaran yang boleh diambil, seseorang pengembara baru seperti remaja misalnya, mudah terpengaruh dan terpedaya dengan perkara zahir,   


kepetahan percakapannya, gaya penyampaiannya, atau kemasyhurannya, tetapi sebenarnya apa yang disampaikan, isi-isinya batil. 

Sebab itu, untuk mendapatkan kebenaran, kita tidak boleh terpedaya dengan keindahan dan kehebatan luaran sahaja. Kata Sayyiduna Ali r.a:

"Sesungguhnya kebenaran tidak dikenali/diukur dari orang-orang, tetapi orang-orang (ahli kebenaran) itu yang dikenali melalui kebenaran. Kenalilah kebenaran, nescaya kamu akan ketahui siapa ahlinya"

Ya, sebelum kita ingin mengenali dan menilai mana ulama yang benar, mana ulama batil, kenalilah kebenaran dahulu.. Belajarlah apa itu kebenaran, tuntutlah ilmu.

Ilmu itu sentiasa jelas, ilmu sentiasa ada.
Jika kamu tidak mampu belajar, maka bertanya dan serahkanlah pada ahlinya. 
"Maka bertanyalah kepada ahli zikir (orang yang mempunyai ilmu) jika kalian tidak mengetahui"(an-Nahl :43)

Tuntutlah ilmu dengan guru dan pelajarilah bagaimana untuk berinteraksi dengan dalil dan mekanisme untuk memahaminya.

Yang menjadi masalahnya adalah mereka tidak tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan dalil-dalil Quran dan Sunnah, lalu mereka sewenang-sewenangnya mengambil dalil dari sini dan mengambilnya pula dari sana mengikut akal sendiri tanpa ilmu, sehinggakan ia menyesatkan orang lain tanpa disedari dan tanpa ilmu..

Kategori Fatwa 

Masalah: Seorang belia ingin mendapatkan fatwa untuk membolehkan dirinya melakukan sesuatu perkara besar seperti jihad contohnya, maka dia meminta seorang saja alim sedangkan fatwa tersebut berkenaan isu ummah dan bukan isu peribadi. Dia tidak ingin bertanya pendapat para ulama yang lain kerana takut-takut pendapat mereka berbeza dan menghalangnya untuk mendapatkan hukum sepertimana yang diingininya.

Dalam masalah ini, syabab perlu memahami bahawa dalam menanyakan pendapat, hukum ataupun fatwa, terdapat 2 pembahagian utama, yang pertamanya soal peribadi dan hal ehwal individu, dan yang kedua adalah soal yang berkaitan dengan masyarakat dan ummah.

Fatwa perlu dibahagikan kepada 3 kategori:

[1] Yang berhubungkait dengan isu-isu yang besar ditujukan kepada ummah, seperti jihad dan situasi dan permasalahan yang berat: 

-Yang ini tidak boleh berfatwa sesiapa kecuali sekumpulan ulama besar dan lembaga-lembaga fatwa antarabangsa seperti majami' fiqhiyah.

[2] Yang berhubungkait isu-isu semasa yang memerlukan ijtihad baru:

-Yang mengeluarkan fatwa bagi kategori ini adalah badan-badan atau lembaga fatwa setempat.

[3] Berkaitan solat, puasa, dan masalah fiqh yang makruf disisi ahli ilmu:

-Tidak mengapa walau hanya ditanyakan seorang ahli ilmu yang benar-benar berkeahlian.

-al-Allamah al-Faqih al-Usuli Syaikh Abdullah Ben Bayyah hafizahullah (seorang pemikir dan ulama yang besar pada masa sekarang)


Disalin dan disunting dari sahabat Ustaz Azam, melalui video الحلقة الخامسة - الشباب عماد الأمة 

Allahua'lam

Al-faqir ilaAllah al-Qawiy
Shah Al-Qadiri
30/5/2014 
1 Sya'ban 1435H
UKM,Bangi


more »

Bicara Cinta II (Perjuangan)

Posted by Unknown
Assalamua'laikum kepada pegujung blog al-faqir, semoga dirahmati Allah  di dalam bulan rejab yang begitu besar rahmatNya ke atas kita dan selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad solallallahu 'alaihi wassalam kepada ahli keluarganya, dan juga sahabat-sahabatnya.

Syeikh Dato' Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki as-Sanusi yang al-faqir kasihi, seorang ulama muda yang mendapat tarbiyah daripada ulama' rabbani,
Bicara cinta bukan sekadar bercinta dengan manusia tetapi juga bercinta dengan perbuatan yang kita lakukan, bercinta dengan amalan yang sedang kita lakukan, begitulah sekiranya tidak mencintai maka tidaklah merasai jus kemanisan setiap amal dan perbuatan kita itu. Al-faqir percaya semua manusia mempunyai impian di dalam hidup ini, apatah lagi apabila sudah menjejak kaki ke alam yang penuh dewasa ini perlu banyak pertimbangan akal yang waras untuk mengadilinya. Semuanya memerlukan pengorbanan, usahlah bercakap perihal impian jikalau kita tidak mahu berkorban atau tidak tahu erti pengorbanan; pengorbanan roh, masa, harta dan lain-lain lagi. Bercintalah mencari kebenaran kerana kebenaran itu bersama dengan Sang Haq berkata al-allamah Syeikh Mutawalli Sya'rawi sebelum beliau meninggal dunia "antara haq(kebenaran) dan haq tidak akan didapati atau tidak mungkin akan bertembung,SESUNGGUHNYA KEBENARAN HANYA SATU dan kamu tidak akan dapati pertembungan dan pertarungan terlalu lama antara kebenaran dengan kejahatan.. KERANA KEJAHATAN SELALUNYA AKAN HANCUR . Sesunggunnya perancangan syaitan itu sangatlah lemah. Maka ketahuilah sesungguhnya kita telah bertunang dengan sebuah perjuangan hidup. Hidup bukan untuk diri sendiri tetapi untuk seluruh manusia yang selalu lupa akan kewujudan diri di dunia ini. Berdirilah di belakang para pejuang yang membawa panji Nabawi, yang cuba menyedarkan umat yang telah lupakan Sang Penciptanya sendiri dan alpa terbuai mimpi yang penuh duniawi.

Suka al-faqir menaqalkan kalam-kalam orang 'alim dalam berbicara mengenai sesuatu ilmu tersebut, ini kerana dek ilmu al-faqir seperti setitis air yang jatuh dari jarum yang dicelup di dalam lautan. Cuma ini sajalah al-faqir mampu untuk menggarap kerana ia satu wasilah bagi para pencari, pecinta, pejuang, kebenaran. Carilah kebenaran waimah kita terpaksa menempuh pelbagai dugaan yang pasti menyakitkan zahir dan batin. Teringat kalam seorang murabbi syeikh Ibrahin Masran al-Banjari "Janganlah kamu meyangka bahawa perjuangan mencari redha Allah ini penuh dengan kesenangan dan kemewahan. Segala mehnah (cabaran) yang pernah menimpa ke atas para nabi-nabi terdahulu itu pasti tertimpa ke atas kamu. Dan Allah ta'ala itu lebih tahu apa yang sesuai buat kamu. Maka contohilah para nabi itu, contohilah para pejuang kebenaran ini. Jatuh bangun mereka tetap bertuhankan Allah. Tetap menjunjung titah Allah. Dicerca rasa nikmat, disisih merasa nikmat,difitnah merasa nikmat, dipenjara merasa nikmat, dibunuh merasa nikmat, kerana apa ? Kerana perjuangan ini adalah suatu nikmat yang tiada taranya.." itulah kata-kata sang murabbi yang sudah merasai nikmatnya berjuang ke atas jalan Allah dan rasul. Siapa pun kamu, kamu tetap hambaNya, bagaimana cara pun kamu hendak memuaskan hati-hati manusia, sepastinya itu satu perkara yang mustahil bagi seorang manusia yang banyak kelemahannya tetapi ingatlah bahawa Allah tidak pernah membiarkan hamba-hambaNya untuk mendapatkan syurga tanpa diuji keimanannya dan keikhlasannya.

Orang yang bercinta, akan yakin dengan berlakunya cinta. Walaupun ada orang lain mengugat kewujudan cinta, keyakinan dia tidak tergugat langsung. Orang yang bertuhan, akan yakin dengan kewujudan Tuhan. Walaupun ada orang lain mengugat kewujudan Tuhan, keyakinan dia tidak tergugat langsung. Orang-orang sufi, gabungan akal, hati dan interaksi inderanya menjadikan dia yakin dengan Tuhan. Walaupun ada pihak yang mengugat, keyakinannya tidak pernah longgar. Berkata sang hujjatul Islam imam Abu Hamid al-Ghazali di dalam risalah al-waladiyyah mengenai ketulusan dalam menegakkan kebenaran kepada anak muridnya " seboleh-bolehnya jangan kamu bertengkar dengan seseorang tentang apa jua masalah pun, kerana perbuatan begitu mengandungi bermacam-macam penyakit. Dosanya jauh lebih besar daripada faedahnya; kerana ia adalah punca bagi segala perangai yang tercela seperti riak, dengki, takbur, dendam, permusuhan dan merasa bangga dengan kemampuan diri sendiri dan sebagainya. Ya, sekiranya antara kamu dan seseorang atau pun satu golongan manusia timbul suatu masalah dan maksudmu tidak lain melainkan hendak menzahirkan kebenaran supaya tidak menjadi sia-sia, tentu tidak ada halangannya. Bagi memenuhi maksud yang demikian itu, ada dua tandanya :- Pertama | Kamu tidak membezakan sama ada  kebenaran itu nanti akan tersingkap melalui lidah kamu atau pun lidah orang lain. Kedua | kamu lebih suka mengadakan perbahasan itu di tempat tertutup berbanding tempat terbuka | awam atau pun tempat yang dihadiri oleh orang ramai. Begitulah ucapan ringkas dan padat yang di isi didalam risalah al-waladiyyah beliau, sekiranya sahabat-sahabat inginkan nasihat yang lebih lanjut, silalah membuka lembaran yang penuh dengan manfaat itu dan isinya yang cukup padat buat pencari, pecinta, pejuang KEBENARAN.

Lagi banyak engkau membaca dan berguru semata-mata untuk mencari kebenaran demi meraih redha Allah, percayalah engkau akan ketemu setiap peringkat yang biasa kepada luar biasa dan worldview semakin meluas.

Kalam dari Ustaz yang paling al-faqir kasihi Ustaz Mustaffa Kamal Hamzah yang berjiwa sufi dan selalu menyemai mahabbah di dalam intipati kuliahnya, "Apabila kamu ingin melakukan kebaikan maka kamu kena banyak bersabar kerana kebaikan itu sudah pasti akan ada penghalangnya,maka segala tuduhan, fitnah dan kecaman hendaklah kamu kena menghadapinya dengan sabar.Apabila kamu berada di dalam kebenaran maka sudah pasti kebatilan akhirnya akan kalah.Orang yang membawa kebenaran biasanya akan jadikan zikir, selawat dan solat sebagai jalan mencari kekuatan yang membawa keredhaan Allah.Hakikatnya yang menentang kebenaran adalah nafsu dan syaitan yang mahir melakukan tipudaya kecuali orang yg dipelihara oleh Allah.Banyakkan selawat,berzikir,membaca Quran dan solat nescaya kamu akan dipelihara Allah." Benarlah kalam-kalam dari para 'alim yang sudah berada di atas landasanNya. Hinaan dan cacian tidak memberikan kesan kepada kamu sekiranya kamu bersama kebenaran, tetapi hinaan dan cacian itu terkesan apabila kau bersekongkol bersama kebatilan yang nyata mahupun tidak nyata.

Teruskan menyuburkan diri dengan amal ibadah dari ilmu yang kita pelajari dan amalkan dalam perjalanan mencari kebenaran yang penuh onak duri mencucuk-cucuk sehingga kita seperti hendak menyerah diri. Dewasa ini ramai manusia suka mengkritik daripada pratik pada diri sendiri, dek kerana ego yang menunjang di dalam diri dan dihasut hawa nafsu yang lapar dan dahagakan kefasadan. Sekiranya, jasmani dan rohani kamu merasai keberatan dalam hal ehwal ibadahmu maka ketahuilah akan bisa dari perbuatan maksiatmu sedang menjalar ke dalam setiap sendi dan saraf yang ada di dalam tubuhmu, berkata Imam Ibnu Atho'illah as-Sakandary (penulis kitab Hikam) : Kesan-kesan bagi maksiat-maksiat yangg dilakukan terbahagi kepada dua :

1) kesan zahir ; antaranya mata kering dari mengalirkan airmata kerana susah untuk menangis dihadapan Allah, malas untuk beribadah, tidak menjaga adab dan kehormatan orang lain, dan hilang kekuatan untuk beramal. 

2) kesan batin ; seperti keras dan gelap hati, kedegilan jiwa, jiwa sempit dengan syahwat, jiwa gundah tidak tenang, hilangnya kemanisan beramal, hilangnya seri wajah, keadaan diri tidak terurus, hawa nafsu tidak terkawal, rasa biasa dengan dosa (tidak rasa takut) nafsu menguasai akal, selalu lupa akan Allah dan alpa bahawa dia bakal dihisab di akhirat..

Jika berlaku sedemikian, maka bertaubatlah !! Kerana pintu pertama jalan menuju Allah adalah taubat. Masalah tidak akan selesai and we can not be closer to Allah without taubah..

[daripada kitab Tajul 'Arus al-Hawi Litahzib an-Nufus karya Imam Ibnu Atho'illah as-Sakandary]

seringlah berdoa: Ya Allah jauhilah kami dari maksiat sepertimana jauhnya antara timur dan barat..


Mereka adala ulama yang memikirkan kemaslahatan ummah, mereka telah berkorban jiwa raga mereka demi mewarisi warisan Nabi tercinta. Waimah hinaan dan cacian itu adalah satu perkara yang kecil bagi mereka, ini kerana mereka telah menjual jiwa mereka kepada sang Rabb yang dikasihi, dan itulah perkara yang membuatkan mereka kuat untuk berdiri sehingga kini.


"Qod ja'a syahidul haqq...
Alhaqqu haq..
Wal batil batil...

Qulil haq walau kana murron..

Akhir kalam, berjalan lah mencari husnul khatimahmu, perhatikan setiap langkah dan perbuatanmu sama ada mengundang kemaslahatan atau kemafsadahan. Siapa yang untung dan rugi daripada hasil perbuatan, pengorbanan, perjuangan yang kamu lakukan, dirimu, ibu bapamu, ahli keluargamu, agamamu, dan bangsamu.

Al-faqir ilallah al-Qawiy, hamba yang hina
Shah Al-Qadiri
10.39 p.m.
11 Rejab 1435 hijrah
Baiti Jannati

more »

Renungan Bersama Risalah Hikmah

Posted by Unknown
Assalamu'alaikum kepada pegunjung blog al-faqir, mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memayungi kita dengan rahmatnya yang tersangat luas yang tiada had bagiNya untuk merahmati hamba-hambaNya. Sejauh mana pun kita tersasar dari landasanNya, janganlah sesekali kita berputus asa dari rahmatNya yang sangat luas itu, percayalah jika seseorang itu dimasukkan ke dalam syurga bukanlah disebabkan amalannya tetapi dengan rahmat kasih sayang Ilahi kepada hamba yang dicintai.

Apa yang ingin dikongsi di dalam post kali ini bukanlah semata-mata dituju kepada  pembaca blog al-faqir ini bahkan semata-mata untuk menasihati diri yang hina dengan kotoran dosa yang nista. Dalam masa yang sama al-faqir juga ingin sekali menyampaikan sedikit perkongsian mengenai risalah al-waladiyah atau lebih dikenali kitab ayyuhal walad yang dikarang oleh seorang ulama agung yang al-faqir kasihi iaitu Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali dan juga seorang pemurni ilmu falsafah.

Sedikit ringkasan mengenai kitab yang berharga ini, kita ini pada asalnya ditulis dalam bentuk surat kepada anak murid yang dahagakan nasihat atau wasiat dari guru yang dikasihi setelah sang murid meinginkan ilmunya yang akan bermanfaat baginya kelak. Oleh itu, sang guru membalas suratnya dengan pena emas (nasihat yang berharga) kepada muridnya. Inilah pertalian antara guru dan murid yang harus dicontohi bersuhbah dan bermahabbah kerana Allah dan Rasulnya bersama-sama untuk mencari redha Allah.

Maka al faqir menukilkan dari kitab yang ringkas dan padat tetapi mendalam serta ikhlas intipatinya kepada mereka yang berfikir dan inginkan kebahagiaan dan kebaikan. Apa yang dinukilkan ini bukanlah keseluruhan kitab ayyuhal walad ini tetapi berdasarkan pemerhatian dan penelitian yang harus ditekan dan bermanfaat untuk diamalkan.


Imam al-Ghazali memetik sebuah kisah di antara Imam Syaqiq dan Imam Hatim, Imam Syaqiq bertanyakan persoalan kepada Imam Hatim : Wahai Hatim ! Sudah tiga puluh tahun engkau bersahabat dengan aku , apakah ilmu yang engkau peroleh selama ini ? Kata Imam Hatim : Aku peroleh lapan ilmu yang berfaedah dan itu memadai bagiku kerana aku mengharapkan padanya keselamatan dan kebahagiaanku.

Faedah pertama dari Imam Hatim menjawab persoalan Imam Syaqiq; Sesungguhnya aku melihat pada makhluk yang banyak ini, aku mendapati bagi setiap mereka mempunyai kekasih kecintaan tempat hatinya terpikat. Sebahagian daripada yang dikasihi itu hanya menemani kekasihnya sehingga pada masa sakit yang membawa maut dab sebahagian yang lain pula sampai ke tepi kubur. Sesudah itu kesemuanya kembali dan meninggalkannnya sepi seorang diri, tidak ada seorang juapun yang masuk bersama dengannya ke dalam kubur. Aku terfikir dan berpendapat sebaik-baik kekasih itu ialah kekasih yang setia mengiringi masuk ke dalam kubur, menjadi penghibur dan teman setia di dalamnya. Hal ini tidak aku dapati selain amalan yang soleh. Oleh sebab itu, aku menjadikan amalan soleh sebagai kekasihku, supaya kelak ia menjadi pelita yang menerangi kuburku, menghiburkan menghiburkan hatiku dan sudah pasti ia tidak akan meninggalkan aku bersendirian.

Faedah kedua; sesungguhnya aku melihat sekalian makhluk ini sentiasa mengikut kehendak nafsu mereka dan bersegera mmenuhi apa jua kehendaknya. Lalu aku perhatikan firman Allah | terjemahan ayat : dan ada pun orang yang merasa takut terhadap kedudukan Tuhannya dan menahan nafsunya daripada keinginan yang jahat, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya. [surah an-Nazi'at, 40-41]
Aku yakin teguh bahawa al-Quran itu adalah benar. Oleh sebab itu, aku bersegera melawan nafsuku dan berjuang menentangnya. Tida pernah aku berikan ia kesempatan untuk mengikuti kehendaknya sehingga ia tunduk menyerah dan taat beribadah kepada Allah.

Faedah ketiga; Sesungguhnya aku melihat setiap orang berusaha untuk menghimpunkan harta benda dunia sebanyak-banyaknya, kemudian disimpannya tanpa mahu mendermakannya. Aku merenung firman Allah | terjemahan : apa yang ada padamu itu akan hilang lenyap dan apa yang ada pada sisi Allah akan kekal selama-lamanya. [Surah an-Nahl, 96] Mulai saat itu, aku akan keluarkan semua harta simpananku selama ini untuk mencari keredhaan Allah, aku bahagi-bahagiannya kepada golongan miskin supaya harta benda itu menjadi pahala disisi Allah.

Faedah keempat; sesungguhnya aku melihat sebahagian daripada makhluk ini ada yang menyangka kemuliaan dan keagungan darjatnya terletak pada ramai kawan dan ahli keluarga, lalu dia merasa mengah dengan demikian itu, sementara sebahagian daripada mereka menyangka kemuliaan dan keagungan itu terletak pada banyaknya harta benda dan anak pinak, lalu dia merasa sombong dengannya, bahkan ada pula yang mengganggap kemuliaan dan ketinggian itu terletak pada kemampuan merampas hak orang lain, menzalimi mereka serta menumpahkan darah-darah mereka. Ada juga yang menyangka kemuliaan dan keagungan itu letaknya pada sikap keborosan, mebuang-buang harta dan melakukan pembaziran. Aku kembali merenung firman Allah | terjemahan : ... Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah itu ialah orang yang paling tinggi takwanya. [surah al-Hujurat, 13]. Lalu aku memilih jalan takwa itu serta aku yakin dengan sepenuh hati bahawa apa yang disebutkan didalam al-Quran itu benar dan sangkaan-sangkaan mereka itu semuanya bathil dan palsu belaka.

Faedah kelima; Sesungguhnya aku melihat manusia hidup saling cela-mencela dan umpat-mengumpat. Aku dapati hal ini berpunca daripada sifat hasad dengki dalam perkara harta, pangkat kedudukan dan ilmu. aku merenung firman Allah | terjemahan : Kamilah yang membahagikan segala sumber kehidupan mereka dalam kehidupan di dunia ini. [Surah az-Zukhruf, 32]. Maka fahamilah  aku bahawa pembahagian segala nikmat itu daripada Allah sejak dari alam azali lagi. Oleh sebab itu, aku tidak pernah hasad dengki dengan sesiapa pun dan aku terima sepenuh hati setiap pemberiaan daripada Allah.

Fedah keenam; Sesungguhnya aku melihat manusia ini antara satu sama lain saling bermusuhan kerana berbagai tujuan dan sebab. Aku dalami lagi firman Allah | terjemahan : Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu, maka jadikanlah ia sebagai musuh. [Surah al-Fatir, 6]. Maka aku membuat kesimpulan bahawa tidak perlu bermusuh dengan sesiapa pun selain daripada syaitan.

Faedah ketujuh; Sesungguhnya aku melihat setiap orang bersungguh-sungguh dan membanting tenaga melebih patut dalam mencari makan dan keperluan hidup sehingga terjatuh kepada perkara syubhat, tejerumus kepada yang haram Dia terpaksa mencemarkan harga diri dan air mukanya. Lalu aku memikirkan tentang firman Allah | terjemahan : Dan tidak ada daripada haiwan pun yang melata di muka bumi ini, melainkan bergantung rezekinya kepada Allah. [Surah Hud, 6]. Maka jelaslah pada aku bahawa rezeki itu ditentukan Allah dan jamin olehNya. Lalu aku hanya sibuk mengerjakan ibadahku kepadaNya dan aku putuskan segala harapanku dengan selain daripadaNya.

Faedah kelapan; Sesungguhnya aku melihat setiap orang menyandarkan nasibnya kepada sesuatu yang lain sebagai pegangan; sebahagian mereka menjadikan dinar dan dirham (wang) sebagai pegangan dan yang lian pula menjadikan harta dan kerajaan sebagai pegangan dan ada pula yang menjadikan kemahiran atau pekerjaan sebagai pegangan, bahkan ada orang yang menjadikan hamba Allah sepertinya sebagai pegangan. Aku merenung firman Allah | terjemahan : .. dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan  mencukupkannya, sesungguhnya Allah menyampaikan segala kehendakNya dan sesungguhnya Allah telah menjadikan bagi setiap sesuatu itu kadar yang sudah ditentukannya. [Surah at-Thalaq, 3]. Aku bertwakkal kepada Allah, kerana Dialah yang mampu menyempurnakan segala hajatku dan Allah sahaja sebaik-baik pelindung.

Sesudah mendengar semuanya itu, Imam Syaqiq berkata : "Semoga Allah sentiasa memberi taufiq kepadamu. Sesungguhnya aku sudah mentelaah Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran. Aku mendapati keempat-empat kitab suci itu berkisar pada lapan perkara faedah ini. Sesiapa yang mengamalkannya, seolah-olah dia sudah mengamalkan kemat-empat kitab itu.

al-faqir diijazahkan kitab ayyuhal walad dari penulis Ustaz Hafiz Fandani, seorang ilmuan muda yang aktif dalam penulisan, semasa berkunjung di book fair,PWTC.
Apa yang disampaikan oleh Imam Hatim adalah berdasarkan pemerhatian beliau, yang mana beliau sering mengunakan ungkapan "aku melihat manusia" bagi al-faqir manusia dizaman beliau dan zaman sekarang tidak jauh beza dengan keruntuhan akhlak dan penyakit-penyakit hati pada masa sekarang. Beliau melihat kekacauan jiwa manusia dan merawat dengan memikir dan merenung setiap ayat-ayat al-Quran lantas beriman dengan al-Kitab yang tiada ragu baginya. Ketahuilah sahabat-sahabat yang al-faqir kasihi, bahawa kita sedang meniti di titian umat yang sedang kritikal akhlaknya yang mana mereka lupa tentang alam yang panjang untuk diselusuri, suka al-faqir mengingatkan tentang kematian kerana mati itu adalah motivasi paling terbaik untuk diri yang angkuh ini. Ambillah keperluan seadanya untuk bekalan di alam sana, mudah-mudahan menjadi peneman setia disepanjang perjalanan menuju syurga Allah.

Sekian perkongsian ilmu Allah. Allahua'lam

Sang Faqir
Shah Al-Qadiri
1.03 P.M. 
3 Rejab 1435H
Kolej Dato' Onn,UKM, Bangi
more »

Bahagiamu, bahagiaku

Posted by Unknown
Assalamu'alaikum kepada pengunjung blog al-faqir ini,


Dalam suasana yang kemarau yang berpanjangan ini membuat hati-hati manusia gelisah tidak senang dan gundah-gulana dek kepanasan yang menyambar luaran dan dalaman manusia. Kepanasan yang kita terima ini bukan sekadar untuk kita merasai dan merungut sahaja tetapi ini adalah dugaan bagi manusia yang lalai dalam mengingatiNya.. Allahu Allah kepada Dia al-faqir menyerah diri dan memohon keampunan.


Jika kita merasai peritnya panas, kita akan menghargai manisnya hujan, begitulah apabila kita penat dan tabah menghadapi dugaan, kita akan lebih menghargai dan bersyukur seadanya apabila mendapat kenikmatan. Semalam dalam perhimpunan maulidur Rasul dan haul syeikh Abdul Qadir al-Jailani di masjid Sultan Mizan(masjid Besi), Putrajaya. Syeikh Affefuddin Al-Jailani meminta para hadirin untuk berdoa dengan penuh KEYAKINAN kepada Allah agar diturunkan hujan dan percayalah itu semua di bawah kekuasaan Rabbul Izzati selagi Sang RAbb tidak mengizinkan maka tertahanlah air-air yang di kandung awan itu cuma asbab tetapi hakikatnya SANG RABBUL 'ALAMIN.
Ya Allah Kami berlindung dengan keredhaan MU daripada kemurkaan MU

Allah itu Maha Mendengar dan Maha Melihat maka berdoalah,berdoalah,berdoalah kepadaNya. Ya Latiff

Ada beberapa yang ingin dikongsikan oleh al-faqir, sebuah yang menarik untuk difikirkan dan cuba diterapkan di dalam diri, yang mana mampu mengharmonikan masyarakat dan mempositifkan diri sebagai makhluk yang mempunyai emosi. Sebagai manusia kita mempunyai perasaan yang berubah-ubah sehingga kita pun, seperti ada hari-harinya yang tertentu kejap ada mood kejap tidak ada mood, bagaimana untuk mengawal mood agar memperolehi mood yang baik dan orang sekeliling pun merasai apa yang kita rasa. Sebenarnya ia ada kaitan di antara anda, anda dan anda semua.

Ada sebuah kisah yang menarik, ini untuk sebagai MUHASABAH DIRI, kurang orang mengambil perhatian semasa kita bermuamalah dengan manusia.

UNTUK ORANG YANG MAHU BERFIKIR

BELON

Sekumpulan 100 orang dewasa mendaftarkan diri ke seminar

Senyumlah bersama Ustaz Rahim. Sebelum menamatkan kuliah, Ustaz Rahim memberikan seorang setiap belon dan meminta para peserta untuk menulis nama mereka di atas belon.

Belon yang ditiup besarkan dan diberikan kepada Ustaz Rahim.

Ustaz Rahim melepaskan 100 belon tersebut ke dalam sebuah bilik. 100 peserta ini disuruh mencari belon yang tertulis nama mereka secara serentak dalam masa 5 minit tanpa memecahkan sebarang belon. 5 orang pertama akan mendapat hadiah.

Keadaan di dalam bilik terus menjadi kelam kabut.
Para peserta berebut2, menolak antara satu sama lain untuk mencari belon masing-masing. Suasana cukup melemaskan. 5 minit berakhir, tiada seorang pun dapat mencari belon mereka.
Ustaz Rahim tersenyum dan meminta para peserta untuk mengambil satu belon seorang dan memberikan kepada pemiliknya berdasarkan nama di atas belon.Dalam masa 3 minit sahaja, semua mendapat kembali belon masing-masing.
Ustaz Rahim tersenyum lagi.

Wahai anakku.. Inilah yang berlaku di dalam kehidupan manusia. Semua orang sibuk mencari kegembiraan sendiri, tapi tidak tahu di mana dan bagaimana.
Walhal, wahai anak kesayanganku, kegembiraan kamu bersangkut paut dengan kegembiraan orang lain. Buat orang lain gembira, kamu akan mendapat kegembiraan.

Seperti kisah di atas, jika para peserta tidak pentingkan diri smeminta sesebuah bagi keperkendiri kerana tamakkan hadiah, mereka akan terfikir untuk mencari belon untuk orang lain dan bukan diri sendiri.
Akhirnya belon milik sendiri akan datang daripada orang lain. Jika semua berebut, suasana akan menjadi kelam-kabut dan akhirnya semua orang rugi.



Teringat sau kisah yang dinukilkan oleh Imam Muhammad Sya'rawi al-Mutawalli di dalam tausiyahnya pernah mendatangkan satu kisah bagaimana Sayyidina Ali r.a telah mengammbarkan syarat keikhlasan hamba menerusi kecenderungan hati sebagai pengukur setiap insan. Kisahnya begini :


Seorang pemuda bertanya kepada Sayyidina Ali r.a dengan katanya: "Imam, bagaimanakah aku dapat mengetahui hatiku ini sama ada ia lebih cenderung kepada dunia ataupun leboh memilih akhirat".
Sayyidina Ali menjawab : "Bayangkan seseorang datang mengetuk pintu rumahmu lalu menghadiahkan kamu sesuatu dan kamu membawanya ke dalam rumah. tak lama kemudian, rumahmu diketuk pintu lagi, lalu kali ini datang pula seseorang yang meminta sesuatu keperluannya. Lantas kamu memberi hadiah yang baru diterima tadi kepadanya dan ia pun membawanya pergi. Antara kegembiraan kamu ketika menerima sesuatu dari tetamu dan kegembiraan kamu menghadiahkannya pula kepada orang lain, mana satu yang lebih besar rasa gembiranya itu ? Sekiranya kamu lebih gembira menerima , maka hatimu lebih cenderung kepada dunia dan sekiranya hatimu lebih bahagiadengan infaq telah kamu laksanakan maka hatimu leboh cenderung kepada akhirat yang kekal."

Cerita di atas sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan cerita mengenai belon di atas yang mana sibuk mencari kebahagiaan sendiri tanpa mempedulikan kebahagiaan yang lain. Ini yang dimaksudkan bahawa kebahagiaan itu bukan milik kita seorang atau sendirian tetapi ia adalah hasil daripada hati-hati yang saling membahagiakan itu lebih baik dari mencari kebahagiaan sendirian kerana Allah meredhai muslim yang mengembirakan orang lain.
 
Jika kita memikirkan begini "asyik kena jaga hati orang saja, habis hati aku siapa nak jaga", sebenarnya sifat positif sedang hilang dan negatif mengambil alih. Buang cas-cas itu dan cakap di dalam diri dengan keyakinan yang tinggi pada Allah, bahawa "takpela kita jaga hati orang,hati aku biar Allah yang jaga" seperti kata-kata Nabi Ibrahim, Sabar itu indah biarlah daku mengadu diriku kepada Tuhanku... dan ada syair yang ditulis seorang 'alim iaitu syeikh Muhammad mahdi ar-rifaie "Aku menuju pintu harapan tika manusia lena tidur dan mengadu kepada Pemilikku tentang diriku".


Senyum...

Jom kita jadi orang yang menggembirakan orang lain.



Allahua'lam. Jom harmonikan bumi dengan bermain "belon" hehe ^_^

12.30 P.M.
9/3/2014
7 Jamadil Akhir 1435H
Rumahku Syurgaku
more »