Bicara Cinta II (Perjuangan)

Assalamua'laikum kepada pegujung blog al-faqir, semoga dirahmati Allah  di dalam bulan rejab yang begitu besar rahmatNya ke atas kita dan selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad solallallahu 'alaihi wassalam kepada ahli keluarganya, dan juga sahabat-sahabatnya.

Syeikh Dato' Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki as-Sanusi yang al-faqir kasihi, seorang ulama muda yang mendapat tarbiyah daripada ulama' rabbani,
Bicara cinta bukan sekadar bercinta dengan manusia tetapi juga bercinta dengan perbuatan yang kita lakukan, bercinta dengan amalan yang sedang kita lakukan, begitulah sekiranya tidak mencintai maka tidaklah merasai jus kemanisan setiap amal dan perbuatan kita itu. Al-faqir percaya semua manusia mempunyai impian di dalam hidup ini, apatah lagi apabila sudah menjejak kaki ke alam yang penuh dewasa ini perlu banyak pertimbangan akal yang waras untuk mengadilinya. Semuanya memerlukan pengorbanan, usahlah bercakap perihal impian jikalau kita tidak mahu berkorban atau tidak tahu erti pengorbanan; pengorbanan roh, masa, harta dan lain-lain lagi. Bercintalah mencari kebenaran kerana kebenaran itu bersama dengan Sang Haq berkata al-allamah Syeikh Mutawalli Sya'rawi sebelum beliau meninggal dunia "antara haq(kebenaran) dan haq tidak akan didapati atau tidak mungkin akan bertembung,SESUNGGUHNYA KEBENARAN HANYA SATU dan kamu tidak akan dapati pertembungan dan pertarungan terlalu lama antara kebenaran dengan kejahatan.. KERANA KEJAHATAN SELALUNYA AKAN HANCUR . Sesunggunnya perancangan syaitan itu sangatlah lemah. Maka ketahuilah sesungguhnya kita telah bertunang dengan sebuah perjuangan hidup. Hidup bukan untuk diri sendiri tetapi untuk seluruh manusia yang selalu lupa akan kewujudan diri di dunia ini. Berdirilah di belakang para pejuang yang membawa panji Nabawi, yang cuba menyedarkan umat yang telah lupakan Sang Penciptanya sendiri dan alpa terbuai mimpi yang penuh duniawi.

Suka al-faqir menaqalkan kalam-kalam orang 'alim dalam berbicara mengenai sesuatu ilmu tersebut, ini kerana dek ilmu al-faqir seperti setitis air yang jatuh dari jarum yang dicelup di dalam lautan. Cuma ini sajalah al-faqir mampu untuk menggarap kerana ia satu wasilah bagi para pencari, pecinta, pejuang, kebenaran. Carilah kebenaran waimah kita terpaksa menempuh pelbagai dugaan yang pasti menyakitkan zahir dan batin. Teringat kalam seorang murabbi syeikh Ibrahin Masran al-Banjari "Janganlah kamu meyangka bahawa perjuangan mencari redha Allah ini penuh dengan kesenangan dan kemewahan. Segala mehnah (cabaran) yang pernah menimpa ke atas para nabi-nabi terdahulu itu pasti tertimpa ke atas kamu. Dan Allah ta'ala itu lebih tahu apa yang sesuai buat kamu. Maka contohilah para nabi itu, contohilah para pejuang kebenaran ini. Jatuh bangun mereka tetap bertuhankan Allah. Tetap menjunjung titah Allah. Dicerca rasa nikmat, disisih merasa nikmat,difitnah merasa nikmat, dipenjara merasa nikmat, dibunuh merasa nikmat, kerana apa ? Kerana perjuangan ini adalah suatu nikmat yang tiada taranya.." itulah kata-kata sang murabbi yang sudah merasai nikmatnya berjuang ke atas jalan Allah dan rasul. Siapa pun kamu, kamu tetap hambaNya, bagaimana cara pun kamu hendak memuaskan hati-hati manusia, sepastinya itu satu perkara yang mustahil bagi seorang manusia yang banyak kelemahannya tetapi ingatlah bahawa Allah tidak pernah membiarkan hamba-hambaNya untuk mendapatkan syurga tanpa diuji keimanannya dan keikhlasannya.

Orang yang bercinta, akan yakin dengan berlakunya cinta. Walaupun ada orang lain mengugat kewujudan cinta, keyakinan dia tidak tergugat langsung. Orang yang bertuhan, akan yakin dengan kewujudan Tuhan. Walaupun ada orang lain mengugat kewujudan Tuhan, keyakinan dia tidak tergugat langsung. Orang-orang sufi, gabungan akal, hati dan interaksi inderanya menjadikan dia yakin dengan Tuhan. Walaupun ada pihak yang mengugat, keyakinannya tidak pernah longgar. Berkata sang hujjatul Islam imam Abu Hamid al-Ghazali di dalam risalah al-waladiyyah mengenai ketulusan dalam menegakkan kebenaran kepada anak muridnya " seboleh-bolehnya jangan kamu bertengkar dengan seseorang tentang apa jua masalah pun, kerana perbuatan begitu mengandungi bermacam-macam penyakit. Dosanya jauh lebih besar daripada faedahnya; kerana ia adalah punca bagi segala perangai yang tercela seperti riak, dengki, takbur, dendam, permusuhan dan merasa bangga dengan kemampuan diri sendiri dan sebagainya. Ya, sekiranya antara kamu dan seseorang atau pun satu golongan manusia timbul suatu masalah dan maksudmu tidak lain melainkan hendak menzahirkan kebenaran supaya tidak menjadi sia-sia, tentu tidak ada halangannya. Bagi memenuhi maksud yang demikian itu, ada dua tandanya :- Pertama | Kamu tidak membezakan sama ada  kebenaran itu nanti akan tersingkap melalui lidah kamu atau pun lidah orang lain. Kedua | kamu lebih suka mengadakan perbahasan itu di tempat tertutup berbanding tempat terbuka | awam atau pun tempat yang dihadiri oleh orang ramai. Begitulah ucapan ringkas dan padat yang di isi didalam risalah al-waladiyyah beliau, sekiranya sahabat-sahabat inginkan nasihat yang lebih lanjut, silalah membuka lembaran yang penuh dengan manfaat itu dan isinya yang cukup padat buat pencari, pecinta, pejuang KEBENARAN.

Lagi banyak engkau membaca dan berguru semata-mata untuk mencari kebenaran demi meraih redha Allah, percayalah engkau akan ketemu setiap peringkat yang biasa kepada luar biasa dan worldview semakin meluas.

Kalam dari Ustaz yang paling al-faqir kasihi Ustaz Mustaffa Kamal Hamzah yang berjiwa sufi dan selalu menyemai mahabbah di dalam intipati kuliahnya, "Apabila kamu ingin melakukan kebaikan maka kamu kena banyak bersabar kerana kebaikan itu sudah pasti akan ada penghalangnya,maka segala tuduhan, fitnah dan kecaman hendaklah kamu kena menghadapinya dengan sabar.Apabila kamu berada di dalam kebenaran maka sudah pasti kebatilan akhirnya akan kalah.Orang yang membawa kebenaran biasanya akan jadikan zikir, selawat dan solat sebagai jalan mencari kekuatan yang membawa keredhaan Allah.Hakikatnya yang menentang kebenaran adalah nafsu dan syaitan yang mahir melakukan tipudaya kecuali orang yg dipelihara oleh Allah.Banyakkan selawat,berzikir,membaca Quran dan solat nescaya kamu akan dipelihara Allah." Benarlah kalam-kalam dari para 'alim yang sudah berada di atas landasanNya. Hinaan dan cacian tidak memberikan kesan kepada kamu sekiranya kamu bersama kebenaran, tetapi hinaan dan cacian itu terkesan apabila kau bersekongkol bersama kebatilan yang nyata mahupun tidak nyata.

Teruskan menyuburkan diri dengan amal ibadah dari ilmu yang kita pelajari dan amalkan dalam perjalanan mencari kebenaran yang penuh onak duri mencucuk-cucuk sehingga kita seperti hendak menyerah diri. Dewasa ini ramai manusia suka mengkritik daripada pratik pada diri sendiri, dek kerana ego yang menunjang di dalam diri dan dihasut hawa nafsu yang lapar dan dahagakan kefasadan. Sekiranya, jasmani dan rohani kamu merasai keberatan dalam hal ehwal ibadahmu maka ketahuilah akan bisa dari perbuatan maksiatmu sedang menjalar ke dalam setiap sendi dan saraf yang ada di dalam tubuhmu, berkata Imam Ibnu Atho'illah as-Sakandary (penulis kitab Hikam) : Kesan-kesan bagi maksiat-maksiat yangg dilakukan terbahagi kepada dua :

1) kesan zahir ; antaranya mata kering dari mengalirkan airmata kerana susah untuk menangis dihadapan Allah, malas untuk beribadah, tidak menjaga adab dan kehormatan orang lain, dan hilang kekuatan untuk beramal. 

2) kesan batin ; seperti keras dan gelap hati, kedegilan jiwa, jiwa sempit dengan syahwat, jiwa gundah tidak tenang, hilangnya kemanisan beramal, hilangnya seri wajah, keadaan diri tidak terurus, hawa nafsu tidak terkawal, rasa biasa dengan dosa (tidak rasa takut) nafsu menguasai akal, selalu lupa akan Allah dan alpa bahawa dia bakal dihisab di akhirat..

Jika berlaku sedemikian, maka bertaubatlah !! Kerana pintu pertama jalan menuju Allah adalah taubat. Masalah tidak akan selesai and we can not be closer to Allah without taubah..

[daripada kitab Tajul 'Arus al-Hawi Litahzib an-Nufus karya Imam Ibnu Atho'illah as-Sakandary]

seringlah berdoa: Ya Allah jauhilah kami dari maksiat sepertimana jauhnya antara timur dan barat..


Mereka adala ulama yang memikirkan kemaslahatan ummah, mereka telah berkorban jiwa raga mereka demi mewarisi warisan Nabi tercinta. Waimah hinaan dan cacian itu adalah satu perkara yang kecil bagi mereka, ini kerana mereka telah menjual jiwa mereka kepada sang Rabb yang dikasihi, dan itulah perkara yang membuatkan mereka kuat untuk berdiri sehingga kini.


"Qod ja'a syahidul haqq...
Alhaqqu haq..
Wal batil batil...

Qulil haq walau kana murron..

Akhir kalam, berjalan lah mencari husnul khatimahmu, perhatikan setiap langkah dan perbuatanmu sama ada mengundang kemaslahatan atau kemafsadahan. Siapa yang untung dan rugi daripada hasil perbuatan, pengorbanan, perjuangan yang kamu lakukan, dirimu, ibu bapamu, ahli keluargamu, agamamu, dan bangsamu.

Al-faqir ilallah al-Qawiy, hamba yang hina
Shah Al-Qadiri
10.39 p.m.
11 Rejab 1435 hijrah
Baiti Jannati


0 comments: